Thursday, April 12, 2012

Kerasionalan Kewujudan Unsur Tradisi Pemerintahan Beraja Dalam Perlembagaan Malaysia

Seperti yang dijanjikan!! ~ ~
Sambungan dari Unsur-Unsur Tradisi Di Dalam Kontrak Sosial
s
PEMERINTAHAN BERAJA
Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah
a.      Sejarah dan Latar Belakang
Sistem Beraja ialah sistem pemerintahan yang tertua di dunia, ia dipercayai wujud sejak 3000 tahun dahulu. Orang Melayu secara khususnya telah berabad lamanya diperintah berdasarkan pemerintahan beraja di Tanah Melayu. Menurut sistem beraja ini, raja mempunyai kuasa mutlak dalam semua urusan pemerintahan dan pentadbiran negeri dengan dibantu oleh para pembesar negeri khususnya semasa era jajahan British.

Menurut Datuk Shamsul Amri Baharuddin (2007, hal 109), Raja-Raja Melayu masih diiktiraf sebagai pemerintah yang berdaulat dan berkuasa penuh di negeri masing-masing semasa penjajahan British di Tanah Melayu. Namun, raja-raja mesti menerima nasihat Residen British dalam semua perkara kecuali adat istiadat Melayu dan agama Islam. Keadaaan ini berlanjutan sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Selepas pendudukan Jepun, British memperkenalkan Malayan Union di mana kuasa raja-raja dihapuskan. Tetapi ia telah mendapat tentangan hebat daripada orang Melayu seterusnya kuasa Raja-Raja Melayu dikembalikan semula di bawah Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Kesultanan Melayu itu adalah satu manifestasi iaitu satu lambang keagungan tamadun bangsa (Raja Nazrin Shah, 2011). Kedatangan orang Eropah telah mengubah sistem politik tradisional orang Melayu berpegang kepada sistem beraja mutlak kepada sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, Raja Berperlembagaan bermaksud raja yang pemerintahannya tertakluk pada peruntukan perlembagaan Negara. Hal ini diterangkan lebih jelas lagi oleh Dato’ Salehuddin Saidin (2009, hal 2), bahawa Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia menggunakan konsep ‘trias politica’ atau politik tiga serangkai yang mana raja adalah ketua Negara di samping kewujudan cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman selagi mengikut lunas-lunas perlembagaan yang telah ditetapkan.

Menurut Profesor Anthony Milner (2011), Institusi Raja Melayu di Malaysia adalah Raja Berpelembagaan yang proaktif dan bersifat keterlibatan berbeza dengan konsep Raja Berpelembagaan British yang mempunyai kuasa terbatas. Sesungguhnya sejarah mencatatkan Istana Raja Melayu itu dahulu berperanan sebagai pusat berkembangnya tamadun bangsa.

b.      Rasional Pemerintahan Beraja
Kesultanan Melayu merupakan elemen penting dalam masyarakat Melayu. Menurut Raja Nazrin Shah (2011), Raja Melayu itu adalah institusi penting warisan bangsa Melayu. Menurut baginda lagi, Raja Berperlembagaan adalah satu kelangsungan pemerintahan beraja di mana sesetengah pihak yang kurang mendalami salasilah dan falsafah disebalik institusi ini telah menganggapnya sebagai ketinggalan zaman. Walaupun Institusi Beraja Malaysia kini hanya mempunyai kuasa yang terhad tetapi tidak bermakna mereka tidak lagi penting dan releven. Antara kerasionalan kewujudan unsur tradisi pemerintahan beraja dalam perlembagaan Malaysia ialah:
i)        Menjadi Simbol Perpaduan dan Keharmonian Negara
Ketaatan kepada raja dan negara akan dapat memupuk persefahaman ke arah perpaduan. Hal ini telah dikupas oleh Profesor Harry Groves (1964), mendapati bahawa pemerintahan beraja memberikan satu simbol perpaduan yang ketara dalam sesebuah negara yang terpapar kepelbagaiannya. Kerasionalan ini disokong lagi oleh kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (2010) bahawa sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan oleh negara telah mewujudkan keamanan dan kestabilan politik sejak merdeka.

ii)      Simbol Penting bagi Survival Orang-Orang Melayu
Pemerintahan beraja telah lama wujud dalam sistem sosial di setiap negeri Melayu, maka tidak adil jika sistem ini dihapuskan. Hal ini dapat difahami dalam Perkara 153 yang mana ia meletakkan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk melindungi dan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Berdasarkan Perkara 153, Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat perdana menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan bagi mereka kedudukan dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau kemudahan lain yang diberikan oleh kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan. (Dato’ Salehuddin Saidin, 2009. hal 6)

iii)    Menjadi Pengimbang Kuasa dan Pihak Pendamai
Pemerintahan beraja ini juga sangat penting di mana raja memainkan peranan untuk tidak menyebelahi mana-mana-mana bahagian tertentu, tetapi menjamin kecekapan serta kestabilan antara kehakiman, perundangan dan eksekutif di negara ini. Malah, keseimbangan kuasa berlaku apabila raja berperanan bagi memastikan tidak wujud campur tangan di antara tiga badan itu. Raja Nazrin Shah (2011) telah bertitah bahawa peranan Institusi Raja sebagai payung Negara wajib memberi naungan secara saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum atau agama seperti yang tersurat dalam salah satu dari Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu.

iv)    Menggambarkan Ciri-Ciri Asal Negara Malaysia
Menurut Dr. Mohd Ridhuan Tee (2010), Raja Melayu adalah kesinambungan sejarah dan warisan negara. Tambahan lagi, kewujudan institusi Raja menjadi sebahagian daripada identiti negara dan ia dilindungi oleh perlembagaan. Selain itu, Abdul Aziz Bari (1999, hal 43) telah menyatakan Malaysia sebagai sebuah negara perlulah mempunyai satu identiti yang berbeza dan unik. Inilah yang mendasari bentuk dan menyediakan isu kepada upacara rasmi Negara. Tambahnya lagi, kewujudan sistem beraja dengan sendirinya menekankan ciri-ciri kemelayuan.

v)      Menjadi Naungan dan Simbol Taat Setia
Sistem beraja di Malaysia menjadi naungan dan simbol taat setia rakyat jelata. Tanpa raja, maka rakyat dan pemimpin menjadi sama. Hal ini diperkukuhkan lagi dari artikel yang ditulis oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee (2010), Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan negara, simbol kekuatan warga dan payung mahkota negara tempat rakyat tumpang berteduh. Katanya lagi, Raja Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa serta melindungi kepentingan bangsa Melayu.
Secara keseluruhannya, sistem raja berpelembagaan harus dikekalkan kerana ia menyumbang lebih banyak kebaikan daripada keburukan kearah membentuk Negara bangsa dan satu bentuk pengiktirafan oleh penggubal perlembagaan yang memahami sejarah, warisan dan tradisi masyarakat dan kedaulatan politik Melayu. 


RUJUKAN
  1.      Shamsul Amri Baharuddin, 2007. Modul Hubungan Etnik. Kementerian Pengajian Tinggi. Pusat Penerbitan Universiti (UPENA). Shah Alam.
  2.       Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah. 2011. Peranan Institusi Raja Melayu Dalam Memupuk Perpaduan Negara. Majlis Wacana Ilmu UiTM Shah Alam
  3.     Dato’ Salehuddin Saidin. 2009. Wacana: Kedaulatan Raja Dari Perspektif Perlembagaan Persekutuan. Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, Shah Alam
  4.    Shahfizal Musa. 2011. (Profesor Dr. Anthony Milner). Syarahan Umum Mengenai Raja Berperlembagaan anjuran UKM, dari http://www.ukm.edu.my/~news/index.php/ms/berita-kampus/782-ukm-public-lecture-on-constitutional-monarchy.html    
  5.            Professor Harry Groves. 1964. The Constitutional of Malaysia. Singapura: Malaysia Publications
  6.             Mohd Fairuz Yusof. 2010. (Datuk Seri Najib Tun Razak). Menjamin Kestabilan Politik.      Arkib Utusan Malaysia, dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1123&pub=utusan_malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm&arc=hive
  7.       Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee bin Abdullah. 2010. Sejarah Bagaimana Yang Kita Mahu?, dari http://ridhuantee.blogspot.com/2010/10/sejarah-bagaimana-yang-kita-mahu.html
  8.    Abdul Aziz Bari, Institusi Ketua Negara, Ketua Negeri dan Majlis Raja-Raja dalam Perkembangan Undang-Undang Persekutuan Malaysia, Ahmad Ibrahim et.al (1999), KualaLumpur : Dewan Bahasa Pustaka


Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 Komen Yang Awesome:

Post a Comment

Sila tinggalkan komen anda kawan-kawan.
Maaf kalau tak sempat balas komen-komen korang semua.
Kunjungan anda akan dibalas oleh saya :-)

Jangan lupe like page kami di facebook. Awesome Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...