Saturday, March 24, 2012

UNSUR-UNSUR TRADISI DI DALAM KONTRAK SOSIAL

PENGENALAN
Jata Negara
          Kebanyakan Perlembagaan Persekutuan mengandungi amalan yang diwarisi daripada zaman penjajahan, kecuali peruntukan tentang pentadbiran, parlimen dan kewarganegaran.Terdapat fasal-fasal yang diwarisi sejak zaman penjajahan dan masih dikekalkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Unsur-unsur tradisi sebenarnya telah wujud sejak ratusan tahun yang lalu sebelum pembentukan perlembagaan pada tahun 1957. Ia dianggap sebagai satu kontrak sosial yang meliputi 4 aspek termasuklah institusi beraja, agama islam, bahasa melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu. (Mohd Salleh Abas, 1985)

         Keempat-empat unsur tradisi ini diserap menjadi sebahagian daripada kandungan penting perlembagaan persekutuan. Ia berperanan menstabilkan sistem politik negara dan laporan yang dibuat oleh Suruhanjaya Reid menekankan betapa pentingnya perlembagaan mengambil kira faktor-faktor sejarah, tradisi, ekonomi dan sosial yang wujud sebelum tahun 1957. (Mohamed Suffian Hashim, 1987).

          Ini menunjukkan betapa pentingnya unsur-unsur tradisi sehingga dilindungi di bawah Akta Hasutan dan dianggap sebagai isu-isu sensitif yang dilarang daripada dijadikan isu perbincangan awam. Ia juga merupakan satu pra-syarat dan permuafakatan yang telah dipersetujui dan diterima oleh orang Melayu dan bukan Melayu. Ini bermakna, orang Melayu diberikan hak istimewa, Islam menjadi agama persekutuan dan Bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan sebagai pra-syarat penerimaan hak kewarganegaraan oleh etnik bukan Melayu. (Mohd Salleh Abbas, 1985).

        Pra-syarat ini menunjukkan bahawa pemimpin terdahulu telah menerima satu formula bagi menyelesaikan masalah yang wujud tanpa melibatkan konflik antara etnik di Tanah Melayu pada ketika itu.
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------KONTRAK SOSIAL


Muafakat Membawa Berkat

            Kontrak sosial adalah persetujuan yang dicapai sebelum merdeka di kalangan para pemimpin Melayu, Cina dan India dan parti-parti yang mereka wakili, UMNO, MCA dan MIC. Bagaimanapun, kontrak sosial harus dianggap sebagai satu persetujuan di kalangan masyarakat berbilang kaum, bukan hanya pemimpin atau kumpulan elit tertentu. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan dalam pilihan raya 1955. Rakyat perlu memahami fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah. (Sumber: Laman Web Tun Mahathir)

               Kontrak sosial bukan istilah yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 tetapi permuafakatan yang mewakili semangat Perlembagaan. Dengan adanya kontrak sosial ketika proses ke arah mencapai kemerdekaan, usaha telah dapat dilakukan untuk menggubal Perlembagaan. Ia merupakan muafakat antara kaum yang mewarnai Perlembagaan, persepakatan yang diterjemahkan ke dalam Perlembagaan. Walaupun istilah kontrak sosial tidak ada dalam Perlembagaan tetapi semangatnya ada pada ciri-ciri perlembagaan itu. Ini bermaksud Unsur-unsur tradisi dalam kontrak sosial telah disepakati semasa menggubal undang-undang persekutuan. Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam pertama, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal. (Mohamed Jauhar Hassan, 1996)
John Locke
           Kontrak sosial sebenarnya merupakan watikah asas keadilan sosial untuk Negara. Keadilan sosial yang terkandung dalam perjanjian ini merangkumi bukan sahaja soal keadilan ekonomi tetapi juga keadilan politik dan keadilan kebudayaan. Oleh itu, kontrak sosial yang dipersetujui perlu dijadikan rujukan asas segala usaha untuk menegakkan keadilan sosial di Negara ini. Pengajaran utama yang harus dipelajari oleh kaum bukan melayu ialah peristiwa rusuhan 13 Mei 1960 kerana mencabar kedudukan orang melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Teori kontrak sosial menurut pandangan ahli teori demokratik eropah seperti Thomas Hobbes (Leviathan, 1651) dan John Locke (Two Treaties of Goverment, 1690) ialah bahawa manusia mewujudkan Negara sebagai satu perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya. Kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang berkuasa dan berdaulat.

             Menurut bahasa, kontrak boleh didefinisikan sebagai perjanjian formal dengan syarat tertentu antara dua pihak. Ia juga boleh bermaksud dokumen yang mengandungi syarat-syarat perjanjian atau undang-undang yang berkaitan dengan kontrak. Sosial pula boleh ditakrifkan sebagai yang berkaitan dengan masyarakat dan kemasyarakatan. Oleh itu, kontrak sosial boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian atau permuafakatan yang ditulis dan ditetapkan oleh undang-undang perlembagaan yang melibatkan semua masyarakat disesebuah Negara. Kontrak sosial di Malaysia lebih merujuk kepada permuafakatan dan perkongsian hidup bersama secara aman harmoni antara penduduk dalam masyarakat majmuk di Negara ini. Kontrak atau perjanjian tidak boleh diubah secara satu pihak sahaja. Semua yang terlibat dalam perjanjian itu mesti setuju kepada perubahan dan pindaan. Apatah lagi kontrak sosial itu telah diinstitusikan dengan menyuratkannya ke dalam Perlembagaan Persekutuan.

~~~Sekian ~~~

-Sampai setakat ini sahaja dahulu. Artikel akan datang akan membincangkan sedikit di mana rasionalnya unsur-unsur tradisi itu sendiri pada masa kini.-

RUJUKAN

  • Mohd Salleh Abas, 1985. Unsur-unsur Tradisi Dalam Perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka Kementerian Pelajaran Malaysia.
  • Mohd Suffian Hashim, 1987. Mengenal Perlembagaan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
  • Laman web Tun Mahathir. 2008. Dlm, 1 Klik. Kontrak Sosial dari http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/maklumat-kenegaraan/1224-kontrak-sosial.html
  • Mohd Jauhar Hassan, 1996. Keadilan Sosial dan Hubungan Kaum dalam Konteks Masyarakat Yang Berubah. Dlm, Azizan Bahari dan Chandra Muzaffar. Keadilan Sosial. Kuala Lumpur: Institut Kajian Dasar, hal 147-148.














Comments
0 Comments
Facebook Comments by Blogger Widgets

0 Komen Yang Awesome:

Post a Comment

Sila tinggalkan komen anda kawan-kawan.
Maaf kalau tak sempat balas komen-komen korang semua.
Kunjungan anda akan dibalas oleh saya :-)

Jangan lupe like page kami di facebook. Awesome Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...