DUNGUN: Seorang remaja yang dipercayai menyamar sebagai penguat kuasa agama yang memukul dan mengarahkan sepasang kekasih berbogel untuk dirakamkan aksi mereka ketika mangsa memadu asmara di Pantai Sura Hujung, di sini, berjaya ditahan. Manakala dua lagi rakan suspek masih diburu.
Selain bertindak memukul dan merakam gambar bogel mangsa, suspek berumur 18 hingga 20-an itu turut mengugut pasangan kekasih itu supaya membayar sebanyak RM2,000 sekiranya tidak mahu gambar bogel mereka disebarkan dalam kejadian awal pagi Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, pasangan kekasih berumur 20-an yang berada di dalam kereta didatangi tiga lelaki berkenaan. Pasangan terbabit yang cemas kemudiannya membiarkan ketiga-tiga lelaki terbabit memasuki keretanya dan suspek dikatakan turut memukul serta memaksa pasangan itu menanggalkan pakaian. Kedua-dua mangsa juga turut mengikut arahan suspek yang merakam gambar bogel mereka dengan telefon bimbitnya.