Wednesday, March 26, 2014

FAKTA TENTANG PESAWAT MH370


NAMA SEBENARNYA ialah 9M-MRO tetapi sejak 8 Mac yang lalu seluruh dunia lebih mengenalinya dengan nama MH370.

Pesawat jenis Boeing 777-200 itu adalah yang ke-404 dikeluarkan oleh syarikat pembuat kapal terbang Boeing.

Ia mula terbang pada 14 Mei 2002.

Pada 8 Mac yang lalu, ia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing. Ia meninggalkan landasan pada 12.41 pagi dan dijadual tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi.

Pesawat yang membawa 239 orang penumpang dan 12 anak kapal itu bagaimanapun tidak kunjung tiba.

Selepas lebih 400 jam gagal dikesan, pesawat itu disahkan pada kali terakhir berada di selatan Lautan Hindi — daerah paling terpencil di dunia, lautan dalam yang paling bergelora. Bagaimana dan kenapa ia lepas jauh daripada destinasi tujuan, sehingga kini tidak ada siapa yang tahu.

Sehingga penerbangannya yang terakhir, 9M-MRO telah terbang selama 20,243 jam.

Tuesday, March 11, 2014

Penumpang Pasport Curi Disahkan Warga Iran



Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. mengesahkan seorang daripada penumpang yang menaiki pesawat MH370 dengan menggunakan pasport palsu adalah warga Iran yang bercadang untuk berhijrah ke Jerman.

Identiti lelaki itu dikenali sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19 tahun.

Pouria Nour menggunakan pasport Austria milik Christian Kozel yang disahkan dicuri di Phuket, Thailand.
Pengumuman Khalid ini selari dengan penemuan siasatan polis di Thailand yang mendapati dua penumpang MH370 dengan pasport curi itu mungkin pelarian yang mencari suaka.

Ia berdasarkan kepada tempahan tiket harga paling murah dan laluan transit di Beijing dan Amsterdam sebelum menuju destinasi akhir. Seorang penumpang menempah destinasi akhir ke Copenhagen, Denmark manakala seorang lagi ke Frankfurt, Jerman.

Mereka dibantu oleh dua warga Iran yang menguruskan tempahan tiket daripada sebuah agensi pelancongan yang sudah dilanggani oleh orang tengah itu sejak tiga tahun lalu.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...